Pages

Sunday 28 October 2012

Sudan minat guna konsep Felda


PARA peneroka Felda dari Wilayah Terengganu gembira menunjukkan replika cek yang diterima dalam majlis Korban Perdana dan Penyampaian Dividen Felda Global Ventures Holdings di pekarangan Masjid Felda Chalok Barat, Setiu, Terengganu, semalam. - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
SETIU 28 Okt. - Kejayaan serta pencapaian gemilang Felda yang kian menyerlah telah menarik minat Sudan untuk menggunapakai konsep dan kepakaran Felda dalam membangunkan sektor perladangan di negara berkenaan.
Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad ketika mengesahkan perkara itu berkata, Sudan berminat menjadikan teknologi serta konsep yang dilaksanakan Felda untuk membangunkan bidang penanaman khususnya mengkomersialkan tanaman gam Arab di negara itu.
Jelas beliau, pelawaan itu disuarakan oleh kerajaan Sudan menerusi duta negara itu ke Malaysia agar Felda menghantar wakil bagi menghadiri Persidangan Majlis Perniagaan Malaysia-Sudan yang dijadual diadakan di ibu negara berkenaan pada 2 November ini.
Menurutnya, selain beliau sendiri, Malaysia turut diwakili para pegawai tertinggi Felda ke persidangan tersebut manakala majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Duta Sudan telah datang jumpa saya sambil menyatakan minat mereka dengan konsep Felda dan secara kebetulan pula Dr. Mahathir akan merasmikan persidangan itu nanti.
"Beliau (duta Sudan) telah jemput kita (Felda) untuk terangkan konsep yang diamalkan oleh Felda terutama dalam membantu mereka membangunkan penanaman gam Arab selain minat menanam kelapa sawit," katanya.
Isa menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Korban Perdana dan Penyampaian Dividen Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di pekarangan Masjid Felda Chalok Barat, dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Asha'ari Idris dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee.
Menurut Isa, keyakinan Sudan untuk mempelajari teknologi serta kepakaran Felda turut didorong keadaan negara berkenaan yang semakin pulih dan stabil.
"Kerajaan negara berkenaan juga akan memberi perhatian untuk membangunkan masyarakat di sana dan pada mereka, Felda adalah contoh terbaik," jelasnya.
Mengenai isu kejatuhan saham FGVH, beliau turut berharap harga saham itu akan kembali melonjak selepas masalah harga komoditi sawit dunia kembali stabil.
"Saham (FGVH) jatuh bergantung kepada harga kelapa sawit dunia, insya-Allah saham (FGVH) akan naik semula selepas ini," ujarnya.


PAKU SAID : Felda hanya satu didunia

No comments:

Post a Comment