Pages

Sunday 21 October 2012

Ladang Rakyat tak serupa Felda

LAPORAN Audit Negara pada 2008 pernah mempersoalkan mengapa kerajaan Kelantan hanya mendapat balik pulangan dari aspek royalti dan premium sahaja daripada pengurusan tanah Ladang Rakyat kelolaannya.
Terbaru, kegagalan program itu dalam objektifnya mengurangkan kemiskinan turut ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang mendapati pulangan yang diperoleh kerajaan melalui sewaan atau pajakan kepada syarikat untuk membangunkan ladang kelapa sawit amat rendah.
Sebelum inipun, dipersoalkan mengapa pihak syarikat mengaut keuntungan besar daripada program ini. Adakah ini jelas menunjukkan program Ladang Rakyat menyimpang daripada matlamat asal?
Barangkali analisis Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad tepat apabila mengulas isu Ladang Rakyat di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini: "Ada orang buat Ladang Rakyat tetapi akhirnya buah sawit yang tak gugur tetapi tanah yang gugur. Bukan mudah hendak ikut Felda kalau sekadar mahu berpolitik."
Ladang Rakyat yang merupakan satu projek diusahakan oleh Kerajaan Pas Kelantan di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat ditubuhkan pada 26 Januari 2006. Perbadanan ini diurus tadbir oleh Kerajaan Pas Kelantan.
Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Kelantan melalui sektor perladangan. Kelayakan untuk menjadi pesertanya memang molek. Mereka mesti rakyat Kelantan berpendapatan isi rumah kurang daripada RM530 sebulan. Tetapi proses pemilihan calon peserta ini ketat.
Pencalonan rakyat miskin dilakukan oleh Penghulu lantikan kerajaan negeri dan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pas atau penyelia DUN Pas bagi kawasan yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
Peserta juga boleh digugurkan selepas menyertai program sekiranya dia gagal menghadiri aktiviti-aktiviti peneguhan jati diri anjuran Perbadanan Ladang Rakyat sebanyak tiga kali. Setakat Julai 2006, jumlah peserta program adalah seramai 4,332 orang.
Penulis difahamkan, walaupun peserta diberikan dividen berjumlah RM200 sebulan, mereka tidak melepasi tahap miskin tegar kerana jumlah besar terakhir masih di paras RM730. Ini bermakna program Ladang Rakyat tidak dapat melonjakkan pendapatan peserta, sekali gus gagal dalam mencapai matlamat penubuhannya.
Peserta Ladang Rakyat juga dikatakan tidak terlibat secara langsung dalam mengusahakan tanah tersebut. Tanah-tanah kerajaan yang diambil untuk tujuan Ladang Rakyat diusahakan oleh syarikat-syarikat persendirian. Ini tidak seperti mana yang dilakukan oleh Felda yang mana peserta mengusahakan tanah mereka sendiri dengan bantuan kerajaan.
Meskipun ada cakap-cakap atau dakwaan menyatakan Ladang Rakyat ini digunakan untuk kepentingan parti tertentu, namun tidak diketahui pula sejauh mana kebenarannya. Tetapi didakwa terdapat sejumlah hampir 40 syarikat telah mendapat konsesi balak di Hulu Kelantan seluas kira-kira 50,000 hektar yang nilainya dikatakan dalam lingkungan mencecah RM1 bilion.
Apakah benar program Ladang Rakyat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pesertanya? Berikut antara pelbagai rungutan dikemukakan oleh rakyat Kelantan:
1. Perbadanan Ladang Rakyat Kelantan didakwa merampas tanah rakyat.
2. Rakyat di Kampung Serian sanggup keluar beramai-ramai untuk mempertahankan tanah mereka. Ini didakwa berlaku di Kampung Miak dan Kuala Malligai.
3. Tiada sebarang pampasan diberikan, janji untuk membayar pampasan tidak ditunaikan dengan alasan iaitu selagi tidak mendapat geran, selagi itulah tanah tersebut tidak menjadi hak milik mereka.
4. Pemilihan peserta ladang rakyat dibuat semata-mata untuk kepentingan politik dan mereka yang melakukan kerja-kerja parti serta menghadiri ceramah parti.
5. Program ladang rakyat ini juga tidak memberikan pemilikan tanah kepada peserta.
6. Masyarakat Orang Asli menghadapi nasib yang sama kerana tanah mereka diambil oleh kerajaan.
7. Hanya sebahagian kecil ladang rakyat telah mengeluarkan hasil dan selebihnya masih diusahakan.
8. Syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan perbadanan ini telah mendapat keuntungan besar daripada hasil pembalakan.
Dan barangkali boleh dipetik ungkapan Mohd. Isa di Gua Musang tempoh hari: "Sejarah Felda amat panjang dan ramai yang tidak menyangka ia akan menjadi seperti yang ada pada hari ini.
"Faktor paling penting kejayaannya ialah mempunyai pemimpin yang baik dan kerajaan yang kukuh."

© Utusan Melayu (M) Bhd

Paku said : kepada Generasi baru Felda... Menyesal tak pernah Datang Dulu

No comments:

Post a Comment