Pages

Saturday 20 July 2013

Kompleks ternakan ikan sturgeon RM120 juta di Pahang


NAJIB Tun Razak menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Felda yang diwakili Faizoull Ahmad (depan, kanan) dengan MMC Hassed Co. Ltd. yang diwakili Kim Jin Ho (depan, kiri) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama menyaksikan ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Isaace John (kiri); Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (dua, kiri); Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (tiga, kiri); Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (kanan). - BERNAMA
PUTRAJAYA 16 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang bakal menyaksikan pembangunan ladang ternakan ikan sturgeon bernilai RM120 juta di Pahang.
Pertukaran MoU usaha sama antara Felda dengan syarikat Korea Selatan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dengan Pengerusi MMC Hassed Co. Ltd., Kim Jin Ho di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam satu kenyataan berkata, Jerantut dan Jengka di Pahang telah dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi untuk projek tersebut dan ia dijangka memberi kesan limpahan ekonomi kepada 1,300 peneroka Felda dan ahli keluarga mereka.
ECER memberitahu, kapasiti penuh ladang ternakan tersebut ialah mengeluarkan 30 tan metrik kaviar iaitu telur ikan sturgeon setiap tahun.
''Dengan harga pasaran kaviar yang mencecah RM9,000 hingga RM15,000 sekilogram, projek ini dijangka menjana pendapatan bulanan sebanyak RM10,000 kepada warga Felda yang menyertai projek ini, tempoh bayaran balik ialah selama tujuh tahun," kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Projek ternakan ikan sturgeon merupakan satu daripada 10 projek pelaburan baharu yang diumumkan ECER dalam majlis pertukaran MoU pelaburan antara pelabur dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini.
Menurut kenyataan ECER, kompleks ternakan ikan sturgeon seluas lapan hektar tersebut yang dilengkapi kawasan pameran, akuarium dan pusat penyelidikan dijangka menjadi sebuah pusat tarikan pelancong utama di ECER.
''Pembangunan kompleks ini akan bermula pada 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.
''Konsep ladang ikan sturgeon ini akan diperluaskan untuk meliputi peneroka Felda di kawasan berhampiran bagi mewujudkan sebuah ladang akua ikan sturgeon serantau," kata kenyataan itu.


© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday 18 July 2013

Yayasan Felda agih RM90,000 bantu anak yatim

Mohd. Isa Samad bersama isteri Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid (dua dari kanan) beramah mesra bersama salah seorang anak yatim ketika Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Jempol dan meraikan anak Yatim di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, malam kelmarin.
JEMPOL 17 Julai - Yayasan Felda memperuntukkan RM90,000 untuk diagihkan kepada 300 anak yatim di sekitar daerah ini sempena menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan berbentuk kelengkapan pakaian dan wang tunai itu disampaikan Pengerusi Yayasan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol dekat sini malam tadi.
Menurut penerima, Nor Syazwani Md. Yunus, 13, dari Felda Palong Sembilan, dia melahirkan rasa gembira dan terharu terhadap sumbangan tersebut.
''Ayah telah meninggal dunia ketika saya berusia 5 tahun. Selepas pemergian ayah, saya dan empat beradik yang lain dibesarkan oleh ibu.
''Biasanya ibu yang akan menyediakan kelengkapan perayaan. Kami cuma beraya dalam keadaan yang sederhana sahaja. Saya amat gembira dan bantuan ini menceriakan lagi sambutan saya tahun ini,'' katanya.
Bagi, Nor Anisa Misban, 12, dari Kampung Serting Ulu pula, dia amat bersyukur apabila mengetahui dirinya terpilih untuk menerima bantuan daripada Yayasan Felda.
''Bila dapat tahu Yayasan Felda mahu membantu anak yatim, saya tidak pernah terfikir akan menerima bantuan ini kerana saya bukan anak Felda.
''Tetapi saya terkejut dan gembira apabila dimaklumkan sebagai salah seorang penerima, terima kasih kerana mereka amat prihatin," ujarnya.
Tambah Muhamad Zamri Karim 14, pula hadir ke program tersebut untuk menemani dua adiknya yang menerima bantuan dalam majlis tersebut.
''Saya tidak mendapat bantuan, namun diraikan dalam majlis ini sebagai tetamu sahaja. Hari ini saya datang untuk menemani dua adik perempuan saya berusia 12 dan 10 tahun yang menerima bantuan.
"Bantuan ini pastinya sangat membantu kami sekeluarga, apatah lagi dua ahli keluarga kami menerima bantuan pada hari ini. Ibu boleh berjimat untuk membuat persiapan raya nanti kerana Yayasan Felda telah membantu kami,'' ujarnya yang berasal dari Felda Serting Hilir Enam.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Zulfitri Jasmin, 12, turut berkongsi kegembiraan apabila mendapat bantuan tersebut.
"Seronok sangat apabila Yayasan Felda jemput kami ke sini. Kami diberi makanan yang enak semasa majlis berbuka puasa, selain menerima wang tunai, kain pasang untuk membuat baju Melayu, kain samping, butang baju Melayu dan coklat,'' katanya yang kehilangan ayah dua tahun lalu.


© Utusan Melayu (M) Bhd

112,396 peneroka Felda terima duit raya

Najib Tun Razak menyampaikan cek bayaran intensif Hari Raya Aidilfitri Peneroka Felda kepada wakil peneroka Felda sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir (kiri) dan Mohd. Isa Abdul Samad (tiga dari kiri) dalam Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Kebangsaan 2013 di Trolak, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz
TANJUNG MALIM 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif hari raya berjumlah RM32.3 juta kepada semua 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Perdana Menteri mengumumkan berita gembira itu dalam Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Kebangsaan 2013 di Felda Gunung Besout 2, Sungkai dekat sini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Berucap dalam majlis itu, beliau berkata, setiap peneroka yang bersama dengan Felda akan menerima RM300 seorang manakala mereka yang tidak bersama Felda masing-masing menerima RM150.
"Duit raya ini kurang sedikit sebab harga sawit sudah turun. Saudara-saudari sekalian sudah dapat bonus, jadi RM300 itu kira munasabah dan mereka yang tidak bersama Felda kita beri juga tetapi separuh iaitu RM150," katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan replika cek sumbangan hari raya tersebut kepada ketua-ketua peneroka dari sebanyak 11 wilayah Felda di seluruh negara.
Peneroka di Wilayah Felda Johor Bahru menerima bayaran duit raya sebanyak RM5.1 juta diikuti Wilayah Raja Alias (RM4.63 juta), Wilayah Kuantan (RM4.39 juta), Wilayah Jengka (RM4.2 juta).
Wilayah Mempaga pula menerima sebanyak RM3.79 juta, Wilayah Segamat (RM3.2 juta), Wilayah Trolak (RM2.27 juta), Wilayah Terengganu (RM2.1 juta), Wilayah Alor Setar (RM1.17 juta), Wilayah Gua Musang (RM908,400) dan Wilayah Sahabat (RM494,100).
Pembayaran duit raya kepada peneroka dilaksana Felda setiap tahun sejak 2003.
Dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan pembinaan sebanyak 420 unit Perumahan Generasi Baharu Felda di kawasan seluas 19.3 hektar di sini, dan sebuah dewan serba guna jenis A berharga RM900,000 di Felda Gunung Besout 2.
Menurut Najib, peneroka Felda kini tidak hanya bergantung pendapatan kepada hasil jualan kelapa sawit tetapi memperoleh pendapatan lain seperti bonus tahunan, duit raya, durian runtuh dan dividen saham Felda Global Ventures Bhd. (FGV) daripada Felda.
Terdahulu, Najib mencabar pembangkang mengemukakan bukti yang menunjukkan Felda bankrap seperti didakwa dua tahun lalu.
Beliau menegaskan, kedudukan kewangan Kumpulan Felda hari ini begitu kukuh dan mantap tidak seperti yang didakwa dan difitnah pembangkang.
"Tidak apa, biarlah saya maklumkan, nilai saham terkumpul Kumpulan Felda sahaja kalau kita jual hari ini, kita boleh peroleh RM8 bilion. Bagaimana boleh kata Kumpulan Felda bankrap?
"Kita ada kilang di Kanada, hotel dan restoran di Mekah, hotel di Kota Kinabalu, tanah di Kalimantan dan banyak lagi. Bayangkan, Felda hari ini muncul sebagai kumpulan yang mengendalikan perusahaan komoditi antara yang terbesar di dunia," ujarnya.
Menurut beliau, Felda telah banyak berjasa dalam mengubah kehidupan peneroka dan keluarga mereka sejak tanah rancangan pertama dibuka pada 1959 sedangkan pembangkang hanya sibuk memburuk-burukkan dan memfitnah agensi itu.

© Utusan Melayu (M) Bhd