BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH DATUK DR HASAN ALI :
PERLAKUAN SUMBANG YANG DIKATAKAN MELIBATKAN PIMPINAN TERTINGGI PAS
Kelmarin dunia siber digemparkan dengan paparan perlakuan seks yang
dikatakan melibatkan pimpinan tertinggi PAS, Dato Mustapa Ali Setiausaha
Agung Parti Islam itu. Video 11 minit 26 saat itu setakat ini tidak
dapat diketahui siapa yang merakamnya digambarkan berlaku disebuah bilik
hotel mewah dikatakan berlaku di ibu negara Kuala Lumpur.
Video tersebut diberitakan merakamkan adegan-adegan menjurus kepada
perlakuan seks hinggalah hubungan seks yang sebenarnya. Paparan gambar
secara berwarna disertai dengan rakaman video dan audio yang jelas dan
terang menggambarkan dengan jelas siapa pelakunya.
Mereka yang telah melihat akan terus dapat mengecam lelaki yang
terlibat adalah dikatakan Dato Mustapa Ali. Sementara pasangan wanitanya
kelihatan masih muda dan agak sofistikated.
Sejak dimuat naik di dalam blog, video itu terus disambut oleh para
blogger yang lain yang kini menjadi paparan yang paling hangat dan
dikembang luas hingga keperingkat menjadi “viral” yang sukar dibendung
lagi.
Episod yang timbul dari sumber internet yang berkait dengan perlakuan
seks serta melibatkan tokoh besar dalam sebuah Parti Islam sudah tentu
menarik minat banyak pihak dan menjadikannya tarikan utama untuk
ditonton. Itulah lumrah manusia.
Peristiwa ini meletup hanya tinggal 8 hari sahaja sebelum tarikh
penamaan calon diikuti hari mengundi pada 5 Mei 2013. Sebelum ini PAS
jenuh bersilat menepis beberapa isu besar yang para pemerhati politik
merumuskan hampir semuanya tidak menyebelahi Parti Islam itu. Peristiwa
pemecatan saya dan Ust Nasharudin Mat Isa, amanat Haji Hadi, doa
menjahanamkan Umno, keceluparan Mursyidul Am, isu Kalimah Allah,
penguburan negara Islam dan Hudud adalah di antara isu yang sukar di
tebus kembali.
Video yang dikatakan melibatkan Dato Mustapa Ali ini dijangka akan memberi pukulan maut kepada PAS.
Dari paparan imejnya Presiden PAS tidak ada ruang lagi untuk sekadar
mengatakan itu besi. Sementara pimpinan PAS sukar mencari alasan
munasabah untuk meyakinkan ahli, penyokong dan pengundi Melayu Muslim
khasnya bahawa video itu adalah bikinan musuh politik untuk melenyapkan
PAS.
Melihat kepada paparan imej-imejnya, apapun alasan yang cuba diberi
namun rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempunyai ilmu dan pendedahan
yang luas sudah mampu membuat rumusan dan keputusan bagi diri
masing-masing.
Hari ini Naib Presiden PAS, Dato Husam Musa cuba menjadi jaguh tampil
mengeluarkan kenyataan seolah-olah persetankan isu video itu sambil cuba
berselindung bahawa paparan itu adalah palsu dan berniat jahat.
Beliau meminta supaya pimpinan PAS tidak memberi perhatian kepada
episod itu dan dengan angkuh mengatakan bahawa PAS tidak perlu menyiasat
kesahihan video itu.
Kenyataan ini dilihat bertentangan sama sekali dengan akhlak seorang
Muslim sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran
Surah Al-Hujurat ayat 6 yang meminta kita supaya menyelidiki dan
menyiasat dahulu sesuatu berita yang dibawa walaupun daripada
orang-orang yang fasik.
Manakala pimpinan yang lain termasuk yang lebih tinggi daripada Husam
sehingga ini membisu seribu bahasa. Mungkin masih terkejut dan belum
pulih daripada igauan ngeri disebabkan yang terlibat adalah dikatakan
Setiausaha Agung parti yang kehadirannya dalam politik sinonim dengan
perkembangan parti itu sendiri.
Ada beberapa perkara yang perlu direnungkan :
Adakah wajar paparan yang menyalahi syarak itu berlaku kepada pimpinan
besar parti boleh ditolak tepi dan cuba dimatikan begitu sahaja?
Apakah dengan menolak tepi dan mematikan episod ini selari dengan
tindakan-tindakan disiplin yang pernah di ambil kepada pimpinan dan ahli
sebelum ini?
Apakah tidak wujud double standard dan pendakwaan berpilih. Ada yang
anak emas dan ada yang anak tembaga dalam sebuah parti yang
berlandaskan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas?
Apakah dengan pendapat Husam itu akan melegakan pengundi dan penyokong
serta bakal pengundi yang sebelum ini parti Islam itu tidak mampu lagi
menanggung beban isu besar yang tidak terlerai?
Apakah cadangan Husam itu akan diterima oleh rakan sejawat PAS di dalam
dan di luar negara kerana paparan online realtime itu dapat ditonton
sama sekelip mata dimana sahaja?
Saya masih ingat peristiwa yang mengakibatkan pemecatan seorang ahli
parlimen PAS, Hashim Gera. Dalam satu majlis beliau telah dilihat menari
lucu-lucuan. Pimpinan ketika itu yang tegas dan decisif telah bertindak
memecat Hashim Gera daripada menjadi ahli parti.
Manakala dalam kes saya pula, sehingga hari ini saya tidak tahu apa
kesalahan saya yang sebenarnya lantaran tidak ada pertuduhan yang dibuat
ke atas saya. Saya telah dipecat daripada ahli parti tanpa diberi
peluang untuk membela diri.
Ahli serta penyokong PAS dan bakal pengundi di negara ini juga sedang
memerhatikan gelagat pimpinan PAS. Setakat kenyataan yang dikeluarkan
oleh Husam Musa pada hemat saya tidak mampu menembusi minda masyarakat
Malaysia yang berilmu dan begitu celik politik.
Saya cenderung untuk mengaitkan episod yang ramai menganggap sebagai
peristiwa hitam ini dengan keputusan PAS menjalin hubungan kerjasama
politik dengan DAP dan PKR.
Rekod PKR yang tercemar dengan berbagai peristiwa yang hampir-hampir
sama dengan kes yang dikatakan melibatkan Dato Mustapa Ali ini. Mungkin
jangkitan langsung daripada pergaulan intim yang berlaku di antara
pimpinan atasan dalam Pakatan.
Saya bimbang kalau jangkitan ini akan menimbulkan penyakit yang lebih
besar dan serius yang berkait langsung dengan aqidah yang selama ini
menjadi agenda induk kepada perjuangan PAS.
Bagi saya persoalan yang besar di hadapan Parti Islam itu tidak lain
daripada persoalan maruah. Imej yang mesti dipaparkan mewakili imej
perjuangan Islam.
Apa yang boleh diketengah PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam
kalau hal yang seserius ini cuba ditangani secara sambil lewa sahaja.
Mana dia dosa dan pahala dan mana dia syurga dan neraka yang sering
dihujahkan oleh pimpinan-pimpinan besar PAS.
Sekurang-kurangnya bagi saya langkah seperti berikut harus di ambil :
Dato Mustapa Ali sebagai orang yang dikatakan terlibat dalam perlakuan
sumbang di dalam video tersebut harus tampil ke hadapan menafikan atau
mengiyakannya;
Sekiranya Dato Mustapa Ali menafikannya, beliau perlu sekurang-kurangnya
bersumpah dengan nama Allah bahawa individu yang telibat dalam video
tersebut bukan dirinya;
Pimpinan PAS terutamanya AJK PAS Pusat atau Majlis Syura PAS perlu
menyiasat dengan terperinci video tersebut dan tuduhan yang dilemparkan
ke atas Setiausaha Agung parti Islam itu;
Sekiranya selepas siasatan terperinci dilakukan mendapati orang yang
terlibat melakukan perlakuan seks itu adalah Dato Mustapa Ali, maka
Jawatankuasa Disiplin parti harus mengambil tindakan segera memecat
keahlian beliau.
Cuma eloklah sekiranya sebelum dipecat, beliau dipanggil untuk membela
diri. Janganlah diulangi kezaliman yang pernah berlaku ke atas diri saya
dan Ust Nasharudin yang tidak pernah langsung dipanggil untuk membela
diri.
Sekiranya saranan seperti yang dikemukakan ini tidak dilakukan, saya
berkeyakinan bahawa PRU yang ke 13 nanti akan menjadi antara PRU yang
terburuk dalam sejarah PAS akibat penolakan pengundi-pengundi
terutamanya pengundi Melayu Muslim yang sudah hilang keyakinan kepada
integriti dan kredibiliti parti Islam itu.
Maka akan tercatitlah nanti dalam sejarah politik tanahair seorang
pemimpin besar yang menghabiskan masa muda dan tuanya memperjuangkan
parti akhirnya menjadi petualang yang menyebabkan parti itu tersembam
menyembah bumi.
DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Tmn Tun Dr Ismail, KL
12 APRIL 2013
No comments:
Post a Comment