Pages

Monday 8 April 2013

447 peneroka Chuping bakal dapat hak milik tanah

KANGAR 7 April - Sebanyak 447 peneroka Felda Chuping dekat sini bakal menerima hak milik tanah masing-masing tidak lama lagi apabila mereka melakukan cabutan undi lot tanah di rancangan tanah itu hari ini.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu menasihati peneroka supaya memanfaatkan tanah seluas empat hektar itu dengan sebaik mungkin dan tidak menjualnya kepada pihak lain.
Beliau berkata, peneroka berkenaan yang telah berada di Felda itu sejak 70-an telah lama memohon untuk mendapatkan lot tanah berkenaan.
"Kerajaan menangguhkan proses permohonan itu kerana mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesuburan tanah untuk tanaman tebu kerana ada kawasan tanah yang tidak subur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis cabutan undi itu.
Beliau berkata, peneroka perlu melalui cabutan undi lot sebelum proses seterusnya dilakukan sebelum hak milik tanah dikeluarkan kepada peneroka.
Pada masa ini, Felda Chuping telah menggantikan tanaman tebu dengan tanaman getah dan masalah tanah tidak subur tidak timbul lagi dengan tanaman baharu itu.
Md. Isa yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar menyelar pihak pembangkang yang sentiasa menganggap apa yang sedang dinikmati oleh rakyat termasuk golongan peneroka sebagai hasil perjuangan mereka.
Katanya, pembangkang tidak memberi apa-apa sumbangan tetapi mereka akan mendakwa setiap pemberian kepada rakyat adalah hasil usaha mereka.
Katanya kerajaan sentiasa mengotakan janji kepada rakyat dan setiap apa yang dilakukan untuk kesejahteraan rakyat tiada kena-mengena dengan pembangkang.
Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa akan terus melaksanakan pelbagai pembangunan dan sentiasa berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai program, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment