Pages

Saturday 17 November 2012

588 anak peneroka dapat durian runtuh

KOTA TINGGI 16 Nov. - Sebanyak 588 anak peneroka Felda Air Tawar 5 di sini, menerima durian runtuh berjumlah RM5,000 setiap satu, semalam. Insentif keseluruhan berjumlah RM2.94 juta itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Hamimah Mansor di Dewan Mesra, Felda Air Tawar Lima di sini. Seorang penerimanya, Maszilina Sarbi, 28, berkata, wang itu akan diserahkan kepada ibunya untuk persiapan kenduri kesyukuran. "Sememangnya kami telah berpakat menyerahkan semua wang ini kepada ibu kerana dia lebih berhak daripada kami," kata anak kesembilan daripada 14 beradik itu. Ketua Kampung Felda tersebut, Rohani Abd. Manan, 63, pula berkata, pemberian durian runtuh itu membuktikan kerajaan menepati janji tidak melupakan anak peneroka yang turut membesar dan merasai keperitan hidup sebagai anak tanah rancangan berkenaan. "Pemberian ini adalah penghargaan kepada keseluruhan keluarga peneroka generasi pertama termasuk isteri dan generasi baharu yang sama-sama bersusah-payah membuka tanah rancangan dan hasilnya kini dinikmati semua. "Bagaimanapun, nasib peneroka kini amat jauh berbeza kerana kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan di tanah-tanah rancangan seperti jalan raya, elektrik, kedai dan sekolah. Anak-anak peneroka juga mempunyai peluang yang luas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi pemberian biasiswa, pinjaman atau bantuan kewangan," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap generasi kedua Felda bersyukur dan memanfaatkan wang yang diterima dengan sebaik mungkin. Sementara itu, Ismail Manaf, 51, berterima kasih kepada pengurusan Felda dan kerajaan atas pemberian itu serta akan menyerahkan wang tersebut kepada ibunya sebelum diagih-agihkan kepada adik-beradik lain. "Duit ini saya bercadang mahu menyimpan dan menggunakannya apabila keadaan memerlukan," kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

 Utusan Malaysia 17hb NOV 2012

No comments:

Post a Comment