Tajuk asal: singapura kerana Malaysia...
SAYA begitu teruja untuk mengulas pendapat Lee Kuan Yew ketika
melancarkan buku terbaharunya bertajuk, One Man's View of the World pada
6 Ogos 2013.
Sebelum itu, nasihat saya bekas Perdana Menteri ini, beritahu anak,
jagalah orang Melayu Singapura baik-baik ketika usia emas ini. Pastikan
mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Cina di sana.
Tidak perlulah banyak komen sangat tentang keadaan politik di Malaysia
sehingga menuduh kerajaan Malaysia sanggup korban talent (bakat)
semata-mata untuk menaikkan orang Melayu. Ketuanan Melayulah yang
menyebabkan Malaysia mundur, kehilangan bakat dan sebagainya.
Asyik-asyik salahkan Melayu. Saya pun ada hak untuk menyalahkan ultra
kiasu Cina Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia
dikhianati. Tanpa Malaysia, Singapura tidak ke mana-mana jua. Justeru,
berterima kasihlah kepada Malaysia.
Sejak dahulu, Kuan Yew tidak pernah berubah, sering menjadi isu hak
istimewa orang Melayu atau ketuanan Melayu untuk menghentam Malaysia.
Pada beliau, inilah yang menjadi Malaysia tidak maju seperti Singapura.
Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa pun boleh
buat. Justeru, janganlah terlalu bongkak. Apa yang berlaku di Singapura,
mempunyai kaitan yang rapat dengan kita di Malaysia.
Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa Melayu atau ketuanan
Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan
menjadi hamba? Tidak juga. Malah, siapa yang lebih hebat hari ini?
Melayu yang bergelar 'tuan'? Atau Cina yang bergelar 'hamba'.
Sedarlah isu ini tidak ada apa-apa, melainkan soal kedengkian dan soal
hati untuk memadamkan sejarah negara. Sebab, setiap negara ada
asal-usulnya. Setiap bangsa ada tanahnya. Jika tidak, tidak adalah
nama-nama seperti Tanah Melayu, Tanah China, Tanah India dan tanah-tanah
yang lain mengikut bangsa.
Lagi soalan saya kepada Kuan Yew, jika benar-benar mahu mengangkat
Melayu, sudah tentu institusi Islam seperti madrasah (sekolah agama) dan
masjid diberikan perhatian. Ini tidak, jika umat Islam Singapura tidak
mengambil inisiatif sendiri, sudah lama kedua-dua institusi ini
terkubur.
Itupun kedudukan institusi Islam semakin menghimpit. Pihak berkuasa
Singapura memaksa institusi ini mengikut kehendak mereka. Jika tidak, ia
akan ditutup. Tanah akan dirampas. Berapa banyak tanah Melayu telah
dirampas (beli) dan dijadikan tanah Cina Singapura?
Akhirnya, untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, mahu tidak
mahu, institusi Islam terpaksa mengikut pihak berkuasa Singapura. Majlis
Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat berbuat apa-apa. Orang agama
yang bekerja di situ sudah mati kemelayuan dan keislaman. Cari makanlah
katakan. Jika tidak percaya pergilah buat kajian di Madrasah Wak
Tanjung. Dengar rintihan mereka.
Bakat-bakat Melayu yang menjadi pak turut disimpan dalam kerajaan.
Manakala talent Melayu yang cuba membela Melayu dan Islam Singapura,
dibuang jauh-jauh. Ke manakah talent seperti Dr. Lily Zubaidah? Kenapa
beliau tidak diberikan tempat?
Kenapa banyak sangat orang Islam yang bukan berwajah Melayu (India
Muslim) yang mendapat tempat di Singapura? Hanya Kuan Yew dan anaknya
sahaja yang boleh menjawab. Janganlah terlalu menonjolkan diri sendiri
hebat. Tanpa Malaysia, Singapura tidak akan ke mana-mana.
Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam menyelesaikan isu
perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan membawa
perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian
pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah
menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra
kiasu. Di manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu dihina lagi, kita terus
diam.
Tersangat jauh bezanya antara layanan kerajaan Malaysia terhadap SJKC
dengan kerajaan Singapura terhadap madrasah dan masjid. Jika umat Islam
di sana tidak mengambil inisiatif sudah lama institusi ini ditutup.
Lihat di Malaysia, SJKC bukan sahaja diberikan keutamaan setanding
dengan Sekolah Kebangsaan (Agama).
Hatta, kita pula terpaksa tunduk kepada SJKC. Niat kerajaan untuk
menambah masa Bahasa Melayu bagi memandaikan anak Cina terus ditentang.
Termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP). Dong Jiao
Zong sedang aktif untuk mendapatkan tandatangan orang Cina seluruh
negara bagi menentang PIPP.
Di Singapura, sesiapa yang tidak mengikut arus kebangsaan, bukan sahaja
tidak relevan, malah akan dihumban ke penjara. Kita pula asyik melayan
kerana mahukan undi dan mengekalkan kuasa kononnya. Apa hasil yang kita
dapat? Dapatkah undi dan kuasa itu?
Jika Kuan Yew sangat menginginkan talent dari Malaysia, ambillah orang
seperti Namewee, Alvivi dan sebagainya. Malaysia tidak perlukan orang
yang kononnya mempunyai talent tersebut.
Kita mahukan talent yang membina bukan talent yang menghancurkan negara.
Talent yang mempunyai semangat partriotisme yang tinggi. Bukan talent
yang merosakkan negara dan membocorkan rahsia negara. Saya amat bimbang
dengan trend pegawai kerajaan yang bekerja di bahagian keselamatan,
kerana ramai juga orang seperti Si Kitol dan Mandaliar. Mereka ini ultra
kiasu.
Si Kitol dan Mandaliar inilah yang telah melakukan khianat dan membentuk
negara Singapura. Mereka tipu pemimpin kita dengan membuat perjanjian
air yang tidak langsung munasabah. Atas sangka baik, kita bersetuju.
Sehingga kini, air yang dijual kepada Singapura adalah wang Malaysia
0.03 sen setiap 1,000 gelens (4,500 Liter) sehingga tahun 2061.
Perjanjian yang amat tidak masuk akal. Bayangkan ketika pemisahan tahun
1965, kita putuskan air, apakah Singapura wujud hari ini?
Berbanding kerajaan China menjual air kepada air kepada negara bangsanya
sendiri Hong Kong, suatu ketika dahulu pada harga AS$5.8 setiap 1000
gelen. Saya ringkaskan, Melayu jual kepada Cina air pada kadar 0.03 sen
setiap 1000 gelen. Manakala China menjual air kepada Cina pada kadar
AS$5.8 setiap 1000 gelen. Siapa sebenar yang baik? Siapa sebenar yang
tertipu? Apakah bangunan mereka boleh berdiri megah dengan menggunakan
air masin? Sudahlah Kuan Yew, bertaubatlah kamu di akhir usia ini.
Kenapa Malaysia (Melayu) begitu bermurah hati? Inilah soal hati Melayu.
Hati mulia Melayu yang saya amat kenali setelah lama berdamping dengan
mereka. Hatinya terlalu baik sehingga orang lain mengambil kesempatan.
Yang paling saya bimbang, kebaikan hatinya nanti akan menyebabkan negara
ini tergadai.
Baru-baru ini, di bulan Ramadan, saya terserempak dengan bekas pegawai
tinggi kerajaan sedang berjumpa dengan sekumpulan peniaga Cina pada jam
1.00 pagi di sebuah restoran di ibu kota. Dalam hati sudah dapat
mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi 'pak pacak'. Maka
akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, dengan elaun
puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau
kontrak kerajaan.
Inilah dilema orang Melayu. Apabila sudah pencen, kerja tiada. Maka
mereka akan mencari jalan pintas. Mereka tidak fikir bagaimana
membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut. Ultra kiasu akan
menggunakan segala ruang dan peluang untuk memanipulasikan keadaan.
Kita hanya boleh berbangga menjadi pengerusi syarikat ini dan itu di
bawah telunjuk syarikat Cina. Bila dapat projek kerajaan bernilai jutaan
itu, siapa kaya? Melayu menjadi sekaya mana? Apakah kita akan dihargai
selepas itu? Inilah pemikiran Kuan Yew.
Lihatlah perjanjian air antara Malaysia-Singapura, langsung tidak boleh
diubah. Jika Malaysia bercadang untuk menaikkannya mungkin keadaan lebih
buruk akan terjadi. Apakah Singapura atau Kuan Yew pernah berterima
kasih kepada kita?
Apa sebenarnya yang Kuan Yew mahu? Beliau tidak pernah berhenti bersuara
supaya Malaysia menghapuskan hak istimewa orang Melayu dalam keadaan
usia emas beliau? Jawapannya, apabila hak ini dihapuskan dalam
Perlembagaan, ketika itulah tidak mustahil, Singapura akan menawarkan
diri untuk masuk semula ke dalam Persekutuan Malaysia.
Nasihat saya, Malaysia tidak bodoh lagi. Bakat-bakat di Malaysia sudah tidak boleh lagi dipermainkan dan diperbodohkan.
Tulisan: PROF MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Tulisan: PROF MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
No comments:
Post a Comment