Pages

Wednesday 9 January 2013

Felda fail saman fitnah Presiden Anak

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

SHAHRIZAL Mohd. Saleh (tiga dari kiri) bersama wakil peguam Felda, Wan Azmir Wan Majid (empat dari kiri) bercakap kepada pemberita berkaitan saman terhadap pakatan pembangkang atas dakwaan mengeluarkan kenyataan Felda menjual minyak kepada Israel di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali serta lima lagi berhubung dakwaan wujudnya urus niaga antara agensi itu dengan Israel.
Pegawai Khas kepada Pengarah Besar Felda, Shahrizal Mohd. Saleh menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu kepada pemberita sebaik sahaja dokumen difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Selain Mazlan dan Mustafa, Felda selaku pihak plaintif turut menamakan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; Pengarang Harakah, Taufek Yahya; penulis artikel, Mohd. Arif Atan; pencetak akhbar tersebut, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd.; dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketujuh.
Dalam writ saman itu, plaintif menyatakan tindakan tersebut difailkan ekoran daripada ucapan Mazlan yang disiarkan dalam laman sosial Facebook beliau bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel.
Ucapan tersebut dibuat dalam satu perhimpunan haram di hadapan pejabat pihak plaintif pada 23 November tahun lalu untuk mengaibkan maruah dan menghina Felda.
Rentetan daripada itu, beberapa artikel bertajuk, Felda urus niaga dengan Israel, BN khianati rakyat Palestin minyak sawit dijual ke Israel dan Felda urus niaga dengan Israel, BN khianati Palestin diterbitkan dalam edisi Harakah bertarikh antara 26 dan 29 November tahun lalu.
Sementara akhbar Suara Keadilan bertarikh 27 November 2012 pada muka surat 10, telah menerbitkan artikel bertajuk, 2,000 himpun bantah Felda jual minyak sawit ke Felda dan BN jangan tipu rakyat.
Plaintif dalam pernyataan tuntutan menyatakan, defendan pertama, pada 19 November tahun lalu, telah memuat naik satu gambar invois bersama kapsyen di Facebook miliknya bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah ke Israel.
Tindakan defendan pertama dalam kapsyen gambar tersebut didakwa telah memfitnah pihak plaintif, seolah-olah bukti Felda menjual minyak sawit kepada Israel.
Sementara itu, dalam perhimpunan haram di depan Wisma Felda pada 23 November tahun lalu, pihak plaintif menyatakan, kata-kata defendan pertama itu telah diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam.
Bagi Felda, kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud plaintif kononnya telah menjual minyak sawit mentah dalam kuantiti yang besar kepada syarikat Bunge Agribusiness Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang kononnya milik Israel yang berpengkalan di Singapura.
Kata-kata itu juga menurut pihak plaintif, menggambarkan plaintif kononnya hipokrit menentang Israel dan menjadi pengkhianat kepada orang Islam.
Akibat penerbitan kata-kata fitnah oleh defendan pertama, plaintif mendakwa telah diaibkan, dihina di khalayak ramai dan peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya atas dasar defendan pertama berniat jahat dan sengaja mahu menghancurkan kepercayaan rakyat bagi meneruskan agenda tersendiri untuk kepentingan politik.
Bagi defendan kedua hingga ketujuh pula, pihak plaintif menuntut ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan kerana mereka tidak memberikan masa dan peluang untuk mengulas atau menyangkal dakwaan tersebut.

No comments:

Post a Comment