LAPORAN Audit Negara pada 2008 pernah mempersoalkan mengapa kerajaan
Kelantan hanya mendapat balik pulangan dari aspek royalti dan premium
sahaja daripada pengurusan tanah Ladang Rakyat kelolaannya.
Terbaru, kegagalan program itu dalam objektifnya mengurangkan
kemiskinan turut ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang
mendapati pulangan yang diperoleh kerajaan melalui sewaan atau pajakan
kepada syarikat untuk membangunkan ladang kelapa sawit amat rendah.
Sebelum inipun, dipersoalkan mengapa pihak syarikat mengaut
keuntungan besar daripada program ini. Adakah ini jelas menunjukkan
program Ladang Rakyat menyimpang daripada matlamat asal?
Barangkali analisis Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad
tepat apabila mengulas isu Ladang Rakyat di Gua Musang, Kelantan
baru-baru ini: "Ada orang buat Ladang Rakyat tetapi akhirnya buah sawit
yang tak gugur tetapi tanah yang gugur. Bukan mudah hendak ikut Felda
kalau sekadar mahu berpolitik."
Ladang Rakyat yang merupakan satu projek diusahakan oleh Kerajaan Pas
Kelantan di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat ditubuhkan pada
26 Januari 2006. Perbadanan ini diurus tadbir oleh Kerajaan Pas
Kelantan.
Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan rakyat
Kelantan melalui sektor perladangan. Kelayakan untuk menjadi pesertanya
memang molek. Mereka mesti rakyat Kelantan berpendapatan isi rumah
kurang daripada RM530 sebulan. Tetapi proses pemilihan calon peserta ini
ketat.
Pencalonan rakyat miskin dilakukan oleh Penghulu lantikan kerajaan
negeri dan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pas atau penyelia
DUN Pas bagi kawasan yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
Peserta juga boleh digugurkan selepas menyertai program sekiranya dia
gagal menghadiri aktiviti-aktiviti peneguhan jati diri anjuran
Perbadanan Ladang Rakyat sebanyak tiga kali. Setakat Julai 2006, jumlah
peserta program adalah seramai 4,332 orang.
Penulis difahamkan, walaupun peserta diberikan dividen berjumlah
RM200 sebulan, mereka tidak melepasi tahap miskin tegar kerana jumlah
besar terakhir masih di paras RM730. Ini bermakna program Ladang Rakyat
tidak dapat melonjakkan pendapatan peserta, sekali gus gagal dalam
mencapai matlamat penubuhannya.
Peserta Ladang Rakyat juga dikatakan tidak terlibat secara langsung
dalam mengusahakan tanah tersebut. Tanah-tanah kerajaan yang diambil
untuk tujuan Ladang Rakyat diusahakan oleh syarikat-syarikat
persendirian. Ini tidak seperti mana yang dilakukan oleh Felda yang mana
peserta mengusahakan tanah mereka sendiri dengan bantuan kerajaan.
Meskipun ada cakap-cakap atau dakwaan menyatakan Ladang Rakyat ini
digunakan untuk kepentingan parti tertentu, namun tidak diketahui pula
sejauh mana kebenarannya. Tetapi didakwa terdapat sejumlah hampir 40
syarikat telah mendapat konsesi balak di Hulu Kelantan seluas kira-kira
50,000 hektar yang nilainya dikatakan dalam lingkungan mencecah RM1
bilion.
Apakah benar program Ladang Rakyat menimbulkan kegelisahan dalam
kalangan pesertanya? Berikut antara pelbagai rungutan dikemukakan oleh
rakyat Kelantan:
1. Perbadanan Ladang Rakyat Kelantan didakwa merampas tanah rakyat.
2. Rakyat di Kampung Serian sanggup keluar beramai-ramai untuk
mempertahankan tanah mereka. Ini didakwa berlaku di Kampung Miak dan
Kuala Malligai.
3. Tiada sebarang pampasan diberikan, janji untuk membayar pampasan
tidak ditunaikan dengan alasan iaitu selagi tidak mendapat geran, selagi
itulah tanah tersebut tidak menjadi hak milik mereka.
4. Pemilihan peserta ladang rakyat dibuat semata-mata untuk
kepentingan politik dan mereka yang melakukan kerja-kerja parti serta
menghadiri ceramah parti.
5. Program ladang rakyat ini juga tidak memberikan pemilikan tanah kepada peserta.
6. Masyarakat Orang Asli menghadapi nasib yang sama kerana tanah mereka diambil oleh kerajaan.
7. Hanya sebahagian kecil ladang rakyat telah mengeluarkan hasil dan selebihnya masih diusahakan.
8. Syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan perbadanan ini telah mendapat keuntungan besar daripada hasil pembalakan.
Dan barangkali boleh dipetik ungkapan Mohd. Isa di Gua Musang tempoh
hari: "Sejarah Felda amat panjang dan ramai yang tidak menyangka ia akan
menjadi seperti yang ada pada hari ini.
"Faktor paling penting kejayaannya ialah mempunyai pemimpin yang baik dan kerajaan yang kukuh."
No comments:
Post a Comment